Bekerja hanya dari rumah dan berupaya mendapat pulangan yang besar
sehingga mampu bergelar jutawan, begitulah yang dapat digambarkan
tentang kerjaya seorang usahawan Internet. Benarkah ia semudah yang
disangka? Kepada wartawan ADHAM SHADAN dan jurufoto ZAKARIA IDRIS, jutawan Internet muda, Irfan Khairi, 32, berkongsi cerita.
SEBAGAI usahawan Internet, Irfan dan komputer riba bagai tidak boleh dipisahkan.
DIA tidak perlu meredah kesesakan lalu lintas untuk ke tempat kerja
setiap hari. Dia juga tidak perlu bersemuka dengan pelanggan meski dia
sebenarnya seorang peniaga. Perniagaannya juga begitu hebat kerana hanya
dalam masa beberapa tahun mampu membuatkannya bergelar jutawan, satu
gelaran yang diidami ramai.
Itulah secebis kisah mengenai seorang pemuda yang baru berusia awal
30-an, Irfan Khairi yang menceburi perniagaan Internet. Menurut Irfan,
dia memerlukan tempoh tiga tahun sahaja untuk bergelar jutawan. Percaya
atau tidak, dia hakikatnya meraih gelaran tersebut ketika berusia 25
tahun, iaitu kira-kira tujuh tahun lalu.
Dia sekurang-kurangnya telah membuktikan bahawa Internet bukan
sekadar wahana untuk mengaut informasi atau saluran untuk berhibur,
tetapi juga medan untuk 'membuat duit'.
Bukan 'membuat duit' seperti terlibat dengan skim cepat kaya atau
pelaburan yang tidak sah, ia sebaliknya satu perniagaan yang sama
seperti perniagaan lain, menjual barangan atau perkhidmatan. Bezanya, ia
menerusi perantaraan Internet.
Mula melangsungkan perniagaan Internet pada tahun 1999 ketika masih
menuntut di Universiti Staffordshire, Britain dalam bidang reka bentuk
multimedia, Irfan Khairi mengusahakan perkhidmatan mereka bentuk kulit
buku, laman web, logo, banner dan produk seperti buku dan peta Malaysia.
"Alhamdulillah, selepas tiga tahun mengusahakan perniagaan Internet,
saya berjaya meraih RM1 juta menerusinya sahaja," kata Irfan, 32, ketika
ditemui
Kosmo! di kediamannya di Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Irfan mengambil keputusan meninggalkan pekerjaannya sebagai perunding
multimedia di sebuah syarikat terkenal di Britain setelah melihat dia
mampu memiliki pendapatan yang jauh lebih baik menerusi perniagaan
Internet.
"Sebenarnya, ketika memulakannya lagi saya sudah yakin yang cara ini
akan berjaya. Semakin mengujakan apabila saya lihat tempahan datang dari
merata tempat di dunia. Misalnya dari Amerika Syarikat, Jepun dan
Australia," kata anak kelahiran Ipoh, Perak ini.

|
|
IRFAN bekerja keras untuk memajukan perniagaan Internetnya.
|
Tambahnya lagi, kini dia, komputer dan Internet ibarat tidak boleh dipisahkan. Dalam milikannya sahaja, ada lima buah komputer.
Bunyi kerjanya seakan mudah. Sebahagian besar masa di rumah dan hanya
menghadap komputer untuk mengakses Internet. Adakah ia sesenang yang
disangka?
Irfan menegaskan: "Saya bekerja keras untuk dapatkan ini. Bukan goyang kaki sahaja."
Ceritanya, dia bekerja dari pagi sampai ke malam dan dari Isnin
sampai Ahad. Selain itu, dalam tempoh tiga tahun itu terutamanya, dia
selalunya cuma tidur tiga hingga empat jam, selebih masanya bersengkang
mata di hadapan komputer menyiapkan tempahan-tempahan grafik dan
sebagainya.
"Malahan, pada tahun pertama saya memulakannya, saya sekadar dapat
tiga orang pelanggan! Tapi saya tidak berputus asa dan memperbanyakkan
membaca buku mengenai perniagaan Internet dan menghadiri ceramah-ceramah
berkenaan perniagaan Internet.
"Hasilnya, mulai tahun kedua saya mampu mendapatkan RM2,000 ke atas sehari."
Pengalamannya itu sendiri boleh menjadi ukuran akan potensi perniagaan Internet pada masa ini.
"Bayangkan, yang saya boleh dapat RM2,000 sehari itu ketika
perniagaan melalui Internet belum berkembang. Pada masa itu, pengguna
Internet hanya 500 juta orang.

|
|
IRFAN turut berkongsi rahsia kejayaan dengan menulis buku.
|
"Tetapi kini pengguna Internet adalah 1.3 bilion dan sudah tentu
perniagaan ini mampu memberikan pulangan yang besar buat pengusahanya.
"Lagi pula, sekarang perniagaan atau urusan juga sudah semakin sebati
dengan Internet. Bayar saman pun sudah boleh secara dalam talian,"
katanya sekali gus berbicara soal potensi perniagaan Internet.
Pada masa ini, Irfan mempunyai lima buah laman web antaranya
rahsiainternet.com,
ideabubble.com dan
slash.com.my.
Jelas Irfan lagi, kelebihan perniagaan Internet adalah dari segi bekerja di rumah dan kos yang rendah.
"Kalau kita meniaga di kedai, paling kurang hendak kena bayar sewa
tapak, mungkin RM1,000 sebulan. Namun untuk perniagaan Internet anda
cuma perlu memperuntukkan RM15 sebulan untuk sewa letak laman web atau
web hosting. Selebihnya mungkin bayaran penggunaan Internet, telefon dan elektrik.
"Masa di rumah juga lebih banyak, dan dapat meluangkan lebih masa
dengan keluarga. Saya pun tidak ada orang gaji," kata lelaki yang sudah
berumah tangga dan dikurniakan tiga orang cahaya mata ini.
Menyentuh sedikit tentang personalitinya, apa yang boleh dikatakan,
dia nampak begitu bersederhana. Pendek kata, gelaran jutawan tidak
mengubah dirinya dan dia masih seperti dulu.
Dia selesa berbaju T ketika ditemui tempoh hari dan kenderaan mewah seperti BMW atau Mercedes bukan dalam senarai milikannya.
"Mahu kaya bukan kerana mata duitan. Tetapi kerana ia mampu membantu
kita dalam kehidupan. Contohnya, membantu kita untuk mendapatkan rawatan
yang terbaik bila sakit dan membantu kita mendapatkan pendidikan yang
terbaik untuk anak-anak," katanya.
Apa pun, sesuatu itu tidak mungkin bisa terjadi tanpa minat yang
mendalam dan dorongan motivasi yang ampuh. Irfan telah menanam dalam
diri untuk menjadi jutawan pada usia 30 tahun ketika berumur 18 tahun
lagi.
Dia banyak menghabiskan masa membaca buku-buku motivasi sejak usia remaja lagi. Buku seperti
Think and Grow Rich oleh Napoleon Hill adalah antara buku yang telah memberinya inspirasi.
Penglibatannya dalam perniagaan Internet juga banyak disumbangkan
oleh minatnya menjadi ahli perniagaan yang terpupuk sejak mengikuti
pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Lukisan serta seni reka pula sememangnya telah menjadi kegemarannya
sejak kecil lagi dan semakin bercambah apabila melanjutkan pengajian
multimedia di Britain.
"Misi saya kini ialah untuk memberi motivasi kepada orang lain agar
mereka dapat mencari kekuatan diri sendiri dan menggunakannya untuk
membuat duit," katanya yang telah menulis beberapa buku, mengadakan
ceramah perniagaan Internet, mempunyai program di radio dan televisyen.
"Berniaga sememangnya kunci untuk menjadi kaya dan dianggarkan 74
peratus jutawan dunia datang daripada bidang perniagaan. Perniagaan
Internet pula mempunyai potensi yang amat besar untuk berjaya.
"Cuma cabarannya ialah bagaimana untuk kita meyakinkan khalayak
tentang produk dan perkhidmatan kita kerana kita tidak bersemuka dengan
mereka dan mereka tidak boleh memegang atau merasa produk kita. Mereka
hanya boleh melihat fotonya di monitor komputer," ujarnya.
kosmo